02 October 2007

Sekadar Bicara Orang Jahil!

Manusia. Engkau manusia dan akupun adalah seorang manusia. Sebenarnya apakah ertinya menjadi atau dijadikan sebagai seorang manusia. Persekitaran sekeliling yang merencahkan segala apa yang berlaku, baik yang berbentuk pegun, bergerak atau mempunyai pelbagai bentuk rupa serta nama adalah dalil kepada kewujudan manusia. Jika semuanya diserap ke dalam lubuk hati dan ditafsir dengan tekun, kita semua akan menemui satu titik hujung. Tentang makna perhambaan. Tentunya ini berkait rapat tentang hubungan makhluk dan Pencipta. Kerap kali kita terleka mencari kepuasan di dalam hati. Hadir dalam bentuk-bentuk majazi yang rasanya bersesuaian dengan segala kehendak maknawi. Aku berkemahuan begitu dan engkau berkehendak begini. Itulah ertinya bahawa seseorang manusia itu tidak akan pernah puas dengan dirinya!

Tapi, kadang-kadang kita terlupa apakah kehendak Tuhan kepada kita. Selamanya, Tuhan telah menunaikan segala hak kita, tetapi adakah kita pernah terfikir apakah kita telah menyempurnakan segala tuntutan Tuhan? Alangkah malang, kita masih terkial-kial untuk mencari dan mengenal Tuhan.Orang alim-alim juga pernah berkata Tuhan itu tidak jauh dan tidak juga dekat. Dekat tidak bersentuh dan jauh tidak bersenggang. Pelik. Lalu bagaimanakah mahu mentarbiah diri? Semestinya dengan mendekati mereka yang telah menjalani jalan yang lurus. Nah, di sinilah kewajipan sebagai seorang muslim untuk mencari jalan tuntutan yang sewajarnya. Janganlah kita semuanya terus terleka dalam kelalaian yang maha halus. Maka, buangkan segala syirik dalam diriku dan dirimu.

Dunia, sebenarnya amat melekakan. Letaknya dunia itu adalah di dalam hatimu. Sejauh mana kita menilai dunia. Setakat mana kita mengambil agama sebagai tunjang dalam kehidupan. Setakat mana kita mengenal agama dan Islam ini. Sesungguhnya Islam ini tidak hanya terletak pada hukum-hakam tetapi kedalaman rasa kepada Tuhan!
Marilah, kita semua dalam masa yang masih tersisa kembali kepada ajaran islam yang hakiki!

Kata Tokku Pulau Manis dalam Syarah Hikam Ibnu Athoillah Al-Iskandari:
"Barangsiapa menyembah Allah kerana suatu yang diharapnya daripadaNya atau kerana menolakkan ia dengan taatnya akan datang siksa daripadanya, maka tiadalah ia berdiri pada haq segala SifatNya kerana bahawasanya Haq Tuhan atas segala hambaNya itu bahawa menyembah mereka itu akan Dia kerana segala SifatNya yang Jamiilah."

0 comments: