20 November 2007

Cerita Sehelai Daun


Sehelai daun jatuh ke tanah dalam remang senja. Aku mendekatinya. Lantas kutanyakan kepadanya. "Apa bahagianmu di dunia ini?". Daun kering itu bungkam. Aku terus menunduk. Menatapnya dengan telus. Daun kering itu begitu-begitu sahaja. Pegun dan statik. Kosong tetapi berisi. Bisu tetapi berbicara! Aku lantas dengan cermat mengambilnya penuh hati-hati. Mana tahu, kalau-kalau perbuatan aku ini bakal mengguris hatinya. Saat aku bersentuhan rasa dengannya aku merasakan suatu suasana lain. Seolah-olah aku merasakan segala macam rencah rasa. Setiap zarah rasa bagaikan terkamil dalam satu jasad.Adakah ini as-sirru fil kulli jasad? Aku memandang wujudku. Benar, memandang dengan nyawa. Memandang kehidupan dengan mata hati yang hidup. Walhal sebenarnya, kesedaran aku menghadap ke arah muka cerminan wujud ini. Maka telah nyatalah padaku akan rasa pada zat daun kering itu yang meresap ke segenap alam saghir. Merembeskan segala kewujudan dan kejilahan rasa.Hasil daripada segala jama' dan wujdan atas dasar keberadaan dalam setiap sesuatu. Apakah telah datang titis-titis natijah pada hentakan-hentakan qurbah ini sebagai satu pengenalan yang merintis jalan akhir menuju permulaan? Benar, daripada wujud kepada wujud yang satu. Daripada satu kepada satu!

0 comments: