Aku yakin semua ini tidaklah menjadi kesalahan. Maka, tegasku ini adalah pegangan pada hati yang tidak membenarkan sebarang rungkaian. Sesungguhnya, cinta ini telah tersimpul mati.
Bicaraku,
Engkau bertanya kepadaku, kenapa selamanya aku dan engkau adalah sebagai suatu keadaan yang saling berpadu dan tiada beza antara kedua-duanya? Kataku, bezanya tetap ada, namun bezanya hilang dalam terangnya. Ini adalah perihal rasa cinta. Aku mengajakmu untuk terus membelah sejumlah lagi lapisan hatimu. Ini adalah tirai yang tidak pernah nampak tetapi wujud. Sebahagian besar pencari cinta itu telah tersasar dan sebahagian besarnya telah lama menjadi debu-debu.
Dan engkau telah menginjak segala kemesraan ini
Tegasmu, ini bukanlah apa-apa
Tidak perlu ada mantera untuk memuja
Cukuplah hati sebagai tempat berhiba
Dan sebagai seorang pujangga, katamu
Tepat benarlah madah cinta ini diciptakan sebagai pusaka!
Maka, tiada yang lain di sisimu melainkan kata-kata dan hati!
Bicaramu,
Maka terhadap cinta ini, kita telah binakan sebuah harapan ikhlas. Satu-persatu ungkapan talbiah dilantunkan dengan penuh khusyuk. Bukannya ditujukan kepada yang lain. Tetapi ini adalah penyataan penyerahan jiwa yang sememangnya tulus. Hati ini tidak pernah dipesongkan untuk memandang kepada cinta yang lain. Biarlah insan-insan melihat dirimu juga sebagai insan, aku tahu sebenarnya engkau cuma mempamerkan sebuah calitan di atas sebuah lukisan jiwa dan menyembunyikan cintamu yang benar. Biarlah rahsia, katamu. Demi sesungguhnya, hakikatnya orang-orang tidak peka dan buta sememangnya mereka tidak akan pernah melihat cintamu. Biarlah, sesungguhnya engkau telah disuguhkan dengan cinta azali dan abadi.
Aku telah menutup segala pintu lara
Biarlah segala maruah ini tercalar
Namun padanya tidak pernah kenal erti luntur
Aku mengenali sebuah rasa luhur apabila matahari menjengahkan muka
Pada pintu hati aku bisa tertawa lagi!
Bicaraku,
Semuanya ini tidak perlukan takwil, tegasmu. Benar, aku pun tidak ingin merungkaikan kejadiaan dan keberadaan cinta ini satu persatu-satu. Lantas, kupancung segala rasa yang lain dan aku menyatu dengan rasa sebak yang bersebab ini. Tidak dapat digambarkan, sama ada aku menginginkan rasa ini diringankan atau ditambahkan lagi. Atau perlukah aku biarkan hati ini menjadi begitu ringkai tanpa ada sebarang tuntutan atasnya. Engkaulah yang perlu memberikan jawapannya! Bukankah di tanganmu itu telah tergenggam segala cinta?
Seolah-olah kita ini telah membenamkan semarak asmara
ke dasar paling hangat
Ini katamu adalah derita paling dahsyat
Benar!
Biarpun sempadan hati itu bisa hancur
Debunya menyuburkan juak-juak munajat ini!
Bicaramu,
Kerana aku ini dipandang sebelah mata, maka aku ini dijatuhkan hukuman. Sememangnya itu suatu takzir yang nyata. Tetapi tidak mengapalah, kerana aku tidak pernah gusar. Kiranya cinta itu bagi diriku adalah sebagai satu sumber untuk terus hidup, maka aku terima segalanya ini sebagai satu ujian. Mungkin ini adalah singkapan hati, menelusuri sejauh mana ia bisa menangkis segala kepayahan dan kenanaran. Ayuh, pancunglah hatiku ini dengan tajamnya cintamu!
Bicaraku,
Aku sebenarnya sudah jelek dengan sikap kepura-puraan. Sudah cukup memualkan. Terkadang aku turut terfikir, sama ada apa yang aku perbuat ini sudah cukup adil, lantas aku memintal cinta sebagai balasan. Terfikir juga, setakat mana gula-gula manis cinta ini akan terus kekal atau akan tawar sebagaimana tawarnya manisan pada lidah. Berbekaskah sebuah rindu pada sebuah hati yang cintanya hanya sebagai sebuah sandiwara? Betapapun begitu, aku tidak pernah hairan pada cinta yang diberi dan dibeli oleh manusia. Aku mencari cinta hak tiada tawar-menawar antaranya.
Bicaramu,
Aku sebenarnya mencintai hakikat cinta itu sendiri. Menikmatinya dengan jiwa yang terpinga-pinga kehairanan. Satu maha rasa. Cinta adalah sempurna sifatnya. Juga sempurna pada namanya. Andainya cinta itu tidak dirasai, maka itu cinta tanpa hakikat. Dan cinta tanpa hakikat tidaklah dinamakan sebagai cinta. Itu satu pemesongan. Rupanya-rupanya cinta adalah dasar dan akibat, juga desir-desir irama nanar yang cukup tersembunyi.
Serasakan ujudku ini tiada
Manakah kepulangan yang tidak kembali?
Apakah ini sebagai hijab antara engkau dan aku yang tidak pernah membatasi?
Atas dasar kekudusan rasa cinta ini, aku telah terpamit
untuk menyingkap segala limpahan kurnia!
Untukku dan untukmu adalah sebuah cinta tanpa alpa!
Bicaraku,
Sengaja telah aku biarkan rasukan perasaan ini bermaharajalela dengan rela. Janggalnya ketika aku meninggalkan cinta bersendirian. Terasa sunyikah hakikat cinta itu tanpa adanya aku? Aku bukannya merajuk. Malahan, aku benar-benar mendambakannya. Tapi, aku fikir, aku cuma ingin bersunyi-sunyi dalam hatiku. Namun, lama-kelamaan aku sedar. Bahwasanya, tanpa cinta aku tidak akan pernah wujud. Terpinga-pinga aku. Aku kehilangan aku sebenarnya. Barulah aku memahami, aku jua adalah cinta itu sendiri. Kenyataannya, aku ini tidak akan pernah berpisah dengan diriku buat selama-lamanya. Inikah ertinya abadi?
Bicaramu,
Kuisi seluruh alam dengan keajaiban kisah kita. Kita memugar segala erti cinta lewat deburan ombak rasa ini. Buih-buihnya kita biarkan hanyut, nun jauh ke tengah onak keluh-kesah jiwa sana. Entah apa gerangan, tatkala kusemadikan segala tafsir mimpi ini ke dasar samudera rasa, engkau telah menjadi tamsilannya. Aku tidak melihat kepada sebarang tanda-tanda. Tiba-tiba sahaja engkau ada. Ajaib dan sungguh ajaib.
Tidak bisakah engkau berdiri pada kalimah ini dan menegakkan segala rasamu pada sudut paling lapang dalam hatiku?
Bicaraku,
Alangkah terpesonanya katamu dengan tari gemalai ini. Engkau bersimpuh di pinggir hatimu dan dengan tekun engkau mendengarkan dia melagukan bicara sakti. Engkau bisa mati, tegasmu. Pukau apakah ini? Terasakan seluruh bicara telah mengunci jiwa. Pasak-pasak hati telah menjadi simpulan mati. Tiada lagi becak-becak pada perjalanan ke hadrat cinta ini menjadi sejuta halangan. Tidak dan tidak pernah ada. Aku rasa dan aku percaya, sejuta tasamuh telah menyucikan jiwamu!
Bicaramu,
Dan setelah kita gapai segalanya dengan penuh tangis dan sendu pilu, maka jumlahkanlah dengan segala apa yang ada. Kiranya perit itu tidak cukup sebagai kifarah, maka airmata ini hamburkanlah mengisi segenap pusara jiwa. Korbankan segalanya biar engkau tiada apa. Sekiranya, ini dianggapkan sebagai cinta hakiki.
Bicaraku,
Kebetulannya, aku ini telah terjerumus ke lembah atma paling dalam dan aku tidak bisa mendaki. Aku telah mengira-ngira tentang kecacatan hati ini. Puas aku membelahnya kepada juzuk-juzuk kecil sehingga ke bilangan ganjil, namun dalam ganjilnya itu terserlah genapnya. Lalu, aku menyimpulkan bahawa selamanya hati itu kedudukannya adalah bersendirian, namun berdirinya adalah pada erti bersertakan!
Bicaramu,
Mujurlah engkau telah sanggup untuk membiarkan tertangkapnya rasa itu pada jiwamu dan menukilkannya untuk terus berkobar-kobar dalam dadamu. Biarlah menjadi nadi, katamu. Tegasmu itu membuatkan roma-roma ini berdiri. Sakinah, ini memang suatu sakinah.Telah termaktub bahawa setiap apa yang diterpa itu memang tiada kesudahannya. Begitulah dengan rasukan rasa, mudah berjangkit. Namun, ubatnya terlalu menuntut mengah! Kadang-kadang untuk menilai apakah ubat itu sebagai penawar mujarab juga kerap mengundang pahit rasa pada hati. Maka, kesakitan itu tidaklah membantu malahan dianggap sebagai bentuk-bentuk yang payah untuk mengundang simpati.
Bicaraku,
Ini semua adalah cerita tentang berasyik-asyik dalam wilayah cinta. Ini sebenarnya tiada apa. Cuma aku menuturkan dan menghimpunkan segala kisah-kisah mujarabat tentang para funnun yang aku rasa bisa menumbuhkan cinta di jiwamu. Aku menerangkan bahawa engkau sebenarnya mempunyai pilihan. Satu pilihan yang mutlak, sama ada engkau ingin menyertai mereka ataupun menjauhi mereka. Kutiplah segala rasa pada ajsammu dan intailah daripada tirai jazbah akan kehadiran jawapanmu itu.
Bicaramu,
Apakah di setiap detik dan ketika itu, terselitnya ruang-ruang untuk mengisi segala rasa cinta. Atau di situ terbinanya sekian banyak tembok yang menjadi penghalang untuk kita memugar segala rasa? Luar jangkaanmu, sebenarnya erti ketulusan cinta ini. Tidak bisa melepaskan. Malahan, rangkulannya lebih erat, maha erat! Keheningan dan kebeningan adalah landas-landas yang bisa dirangkumi dalam keadaan yang serba-serbinya asyik!
Katanya, maka tiadalah dikatakan cinta jika engkau tidak menempuh pintu kegilaan!
Aku menunggu sejuta tadbir yang menafsir segala cinta penuh sirr!
(Tiba-tiba teringat kenangan masa menulis kat BS dulu! T_T)
23 December 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment